Wednesday, February 26, 2014

A Aida terpaksa 3 kali bedah hidung




Produser drama dan pelakon, A Aida mengakui terpaksa menjalani tiga kali pembedahan kosmetik pada bahagian hidungnya dan menghabiskan kira-kira RM100,000 bagi merawat kesan kecederaan yang dialami lebih 20 tahun lalu.

"Saya buat sedikit pembedahan ketika itu, tetapi bengkaknya masih berterusan dan saya bertemu doktor untuk rawatan kosmetik sekali lagi kira-kira 10 tahun lalu. Bagaimanapun masih ada kesan bengkak dan lendir berkumpul di bahagian batang hidung saya sehingga hujung tahun lalu.

"Atas nasihat seorang rakan artis, saya lakukan pembedahan untuk kali ketiga dengan kos sebanyak RM25,000 tetapi saya masih tidak berpuas hati sebab ia tidak kembali seperti hidung asal saya," katanya ketika dihubungi semalam.

A Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 40, bagaimanapun tidak menafikan sesetengah artis atau selebriti sengaja membuat pembedahan plastik untuk kelihatan cantik atas tuntutan kerjaya. Namun apa yang dilakukan ke atas hidungnya atas dasar kesihatan.


"Saya tidak pernah membuat pembedahan plastik atau kosmetik di bahagian lain tubuh badan saya untuk cantik seperti artis-artis lain tetapi setakat ini, hanya hidung saja yang dibedah atas dasar rawatan.

"Saya bukan buat untuk cantik kerana saya memang sudah berpuas hati dengan apa yang Tuhan beri, tetapi kecederaan itu memaksa saya merawatnya," katanya.

Menurut produser drama Halimah Jongang ini, lebih 20 tahun lalu dia mengalami kecederaan pada hidung ketika menjalani penggambaran drama Lela Sari bersama Sofia Jane dan Shaharuddin Thamby di Pulau Besar, Melaka. Insiden itu membuatkannya menanggung kesakitan agak lama sehingga dia mendapat rawatan dan mendapati darah beku di dalamnya yang menyebabkan A Aida terpaksa melakukan pembedahan.

Semalam muka depan Harian Metro melaporkan mengenai tuntutan kerjaya yang mahukan selebriti sentiasa berwajah cantikt membuatkan kebanyakan daripada mereka berbelanja besar untuk mencantikkan wajah.

Malah, ada antara mereka yang menghabiskan sehingga lebih RM50,000 untuk mendapatkan hidung yang lebih cantik apabila hidung asal 'rosak' kerana tercedera atau mengalami masalah kesihatan. Komposer Ajai atau Faizal Maas dan Winnie K misalnya mengakui melakukan pembedahan kosmetik kerana masalah kesihatan dan kecederaan.


No comments:

Post a Comment