Monday, January 13, 2014

Kecoh !! Warga Nepal Takut Hantu






POKOK SENA - Kira-kira 200 warga Nepal yang bekerja di kilang papan di sini, hampir mencetuskan kekecohan di depan kilang berkenaan bagi mendesak majikan memanggil bomoh atau sami kononnya untuk menghalau hantu yang didakwa menyebabkan kematian empat rakan mereka dalam tempoh sebulan.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Kota Setar, Deputi Superintenden Mat Akhir Jaafar berkata, pekerja terbabit mengadakan perhimpunan bermula jam 8.30 malam kelmarin, kerana mereka dipercayai bimbang mungkin menjadi mangsa seterusnya.

“Kebanyakan warga Nepal yang bekerja di situ masih memegang kepercayaan karut dan menganggap hantu menyebabkan rakan mereka mati dalam masa singkat. Mujurlah perhimpunan itu tidak sampai menjadi rusuhan," katanya.

Mat Akhir berkata, dalam perhimpunan itu, seorang daripada pekerja kilang mengalami sesak nafas dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Sementara itu  katanya, bagi mendedahkan kejadian sebenar pihaknya turut membawa wakil pekerja asing itu ke HSB bagi mendapatkan penerangan lanjut daripada doktor mengenai punca kematian rakan mereka.

“Dalam perjumpaan itu, doktor memaklumkan kepada mereka bahawa punca sebenar kematian rakan mereka ialah disebabkan masalah kesihatan manakala seorang lagi disebabkan kemalangan,” katanya.

Mat Akhir berkata, dalam pada itu beliau turut difahamkan kebanyakan pekerja di kilang berkenaan sering mengambil minuman keras tidak berjenama hingga berkemungkinan boleh membawa maut.

Tambah beliau, di samping itu, faktor lain antaranya  pemakanan, kediaman serta persekitaran yang tidak baik menyebabkan kehidupan mereka terdedah kepada masalah kesihatan.

Bagaimanapun, bagi memenuhi permintaan dan memuaskan hati pekerja warga asing itu, pihak pengurusan kilang turut membenarkan mereka menggunakan khidmat bomoh atau sami bagi menghalau hantu yang menurut kepercayaan mereka wujud di sekitar kawasan kediaman itu. 
-SinarHarian-

No comments:

Post a Comment